Pengertian Hadits dan Sunnah Serta Contohnya Menurut Para Ulama Hadis Terlengkap
Para muhadditsin (ulama ahli hadis) berbeza pendapat di dalam mendefinisikan al-hadits. Hal itu kerana terpengaruh oleh terbatas dan luasnya objek peninjauan mereka masing-masing. Dari perbezaan sifat peninjauan mereka itu, lahirlah dua macam pengertian tentang hadis, iaitu pengertian yang terbatas di satu pihak dan pengertian yang luas di pihak lain.
Ta’rif (Definisi) Hadis yang Terbatas
Musthalah hadith ialah satu ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu hadith. Orang yang mula menyusunnya ialah Qadhi Abu Mahmud al-Ramahramzi [Tahun 360 Hijrah].
Hadith menurut bahasa, ialah
pertama: Yang baharu,
Kedua: Perkhabaran,
Ketiga: Yang dekat atau yang belum lama.
Menurut istilah ahli hadith pula: ialah segala ucapan nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. Masuk ke dalam pengertian keadaannya, segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith. Tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul. Dan sebab berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.
Ahli (ulama’) hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat, perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; sama ada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.
Ulama’ usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.
Sementara itu ulama’ fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum syara’. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).
Dalam pengertian (definisi) yang terbatas, majoriti ahli hadis berpendapat sebagai berikut. “Al-hadits ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad saw., iaitu berupa perkataan, perbuatan, pernyataan, dan yang sebagainya.”
Definisi ini mengandungi empat macam unsur: perkataan, perbuatan, pernyataan, dan sifat-sifat atau keadaan-keadaan Nabi Muhammad saw. yang lain, yang semuanya hanya disandarkan kepada Nabi Muhammad saw. saja, tidak termasuk hal-hal yang disandarkan kepada sahabat dan tidak pula kepada tabi’in. Pemberitaan tentang empat unsur tersebut yang disandarkan kepada Nabi Muhammad saw. disebut berita yang marfu’, yang disandarkan kepada para sahabat disebut berita mauquf, dan yang disandarkan kepada tabi’in disebut maqthu’.
1. Perkataan
Yang dimaksud dengan perkataan Nabi Muhammad saw. ialah perkataan yang pernah beliau ucapkan dalam berbagai bidang: syariat, akidah, akhlak, pendidikan, dan sebagainya. Contoh perkataan beliau yang mengandungi hukum syariat seperti berikut. Nabi Muhammad saw. bersabda (yang ertinya), “Hanya amal-amal perbuatan itu dengan niat, dan hanya bagi setiap orang itu memperolehi apa yang ia niatkan … (dan seterusnya).” Hukum yang terkandung dalam sabda Nabi tersebut ialah kewajiban niat dalam segala amal perbuatan untuk mendapatkan pengakuan sah dari syara’.
2. Perbuatan
Perbuatan Nabi Muhammad saw. merupakan penjelasan praktis dari peraturan-peraturan yang belum jelas cara pelaksanaannya. Misalnya, cara cara bersalat dan cara menghadap kiblat dalam salat sunah di atas kenderaan yang sedang berjalan telah dipraktikkan oleh Nabi dengan perbuatannya di hadapan para sahabat. Perbuatan beliau tentang hal itu kita ketahui berdasarkan berita dari sahabat Jabir r.a., katanya, “Konon Rasulullah saw. bersalat di atas kenderaan (dengan menghadap kiblat) menurut kenderaan itu menghadap. Apabila beliau hendak salat fardu, beliau turun sebentar, terus menghadap kiblat.” (HR Bukhari).
Tetapi, tidak semua perbuatan Nabi saw. itu merupakan syariat yang harus dilaksanakan oleh semua umatnya. Ada perbuatan-perbuatan Nabi saw. yang hanya spesifik untuk dirinya, bukan untuk ditaati oleh umatnya. Hal itu kerana adanya suatu dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan itu memang hanya spesifik untuk Nabi saw. Adapun perbuatan-perbuatan Nabi saw. yang hanya khusus untuk dirinya atau tidak termasuk syariat yang harus ditaati antara lain ialah sebagai berikut.
a. Rasulullah saw. diperbolehkan menikahi perempuan lebih dari empat orang, dan menikahi perempuan tanpa mahar. Sebagai dalil adanya dispensasi menikahi perempuan tanpa mahar ialah firman Allah (yang ertinya) sebagai berikut. “… dan Kami halalkan seorang wanita mukminah menyerahkan dirinya kepada Nabi (untuk dinikahi tanpa mahar) bila Nabi menghendaki menikahinya, sebagai suatu kelonggaran untuk engkau (saja), bukan untuk kaum beriman umumnya.” (Al-Ahzab: 50).
b. Sebahagian tindakan Rasulullah saw. yang berdasarkan suatu kebijaksanaan semata-mata, yang bertalian dengan soal-soal keduniaan: perdagangan, pertanian, dan mengatur taktik perang. Misalnya, pada suatu hari Rasulullah saw. pernah kedatangan seorang sahabat yang tidak berhasil dalam penyerbukan putik kurma, lalu menanyakannya kepada beliau, maka Rasulullah menjawab bahawa “kamu adalah lebih tahu mengenai urusan keduniaan”. Dan, pada waktu Perang Badar Rasulullah menempatkan divisi tentera di suatu tempat, yang kemudian ada seorang sahabat yang menanyakannya, apakah penempatan itu atas petunjuk dari Allah atau semata-mata pendapat dan siasat beliau. Rasulullah kemudian menjelaskannya bahawa tindakannya itu semata-mata menurut pendapat dan siasat beliau. Akhirnya, atas usul salah seorang sahabat, tempat tersebut dipindahkan ke tempat lain yang lebih strategik.
c. Sebahagian perbuatan beliau peribadi sebagai manusia. Seperti, makan, minum, berpakaian, dan lain sebagainya. Tetapi, kalau perbuatan tersebut memberi suatu petunjuk tentang tata cara makan, minum, berpakaian, dan lain sebagainya, menurut pendapat yang lebih baik, sebagaimana dikemukakan oleh Abu Ishaq dan kebanyakan para ahli hadis, hukumnya sunah. Misalnya, “Konon Nabi saw. mengenakan jubah (gamis) sampai di atas mata kaki.” (HR Al-Hakim).
3. Taqrir
Erti taqrir Nabi ialah keadaan beliau mendiamkan, tidak mengadakan sanggahan atau menyetujui apa yang telah dilakukan atau diperkatakan oleh para sahabat di hadapan beliau. Contohnya, dalam suatu jamuan makan, sahabat Khalid bin Walid menyajikan makanan daging biawak dan mempersilakan kepada Nabi untuk menikmatinya bersama para undangan.
Rasulullah saw. menjawab, “Tidak (maaf). Berhubung binatang ini tidak terdapat di kampung kaumku, aku jijik padanya!”
Kata Khalid: “Segera aku memotongnya dan memakannya, sedang Rasulullah saw. melihat kepadaku.” (HR Bukhari dan Muslim).
Contoh lain adalah diamnya Nabi terhadap perempuan yang keluar rumah, berjalan di jalanan pergi ke masjid, dan mendengarkan ceramah-ceramah yang memang diundang untuk kepentingan suatu pertemuan.
Adapun yang termasuk taqrir qauliyah iaitu apabila seseorang sahabat berkata “aku berbuat demikian atau sahabat berbuat berbuat begitu” di hadapan Rasul, dan beliau tidak mencegahnya. Tetapi ada syaratnya, iaitu perkataan atau perbuatan yang dilakukan oleh seorang sahabat itu tidak mendapat sanggahan dan disandarkan sewaktu Rasulullah masih hidup dan orang yang melakukan itu orang yang taat kepada agama Islam. Sebab, diamnya Nabi terhadap apa yang dilakukan atau diucapkan oleh orang kafir atau munafik bukan bererti menyetujuinya. Memang sering nabi mendiamkan apa-apa yang diakukan oleh orang munafik lantaran beliau tahu bahawa banyak petunjuk yang tidak memberi manfaat kepadanya.
4. Sifat-Sifat, Keadaan-Keadaan, dan Himmah (Hasrat) Rasulullah
Sifat-sifat beliau yang termasuk unsur al-hadits ialah sebagai berikut.
a. Sifat-sifat beliau yang dilukiskan oleh para sahabat dan ahli tarikh (sejarah), seperti sifat-sifat dan bentuk jasmaniah beliau yang dilukiskan oleh sahabat Anas r.a. sebagai berikut. “Rasulullah itu adalah sebaik-baik manusia mengenai paras mukanya dan bentuk tubuhnya. Beliau bukan orang tinggi dan bukan pula orang pendek.” (HR Bukhari dan Muslim).
b. Silsilah-silsilah, nama-nama, dan tahun kelahiran yang telah ditetapkan oleh para sahabat dan ahli sejarah. Contoh mengenai tahun kelahiran beliau seperti apa yang dikatakan oleh Qais bin Mahramah r.a. “Aku dan Rasulullah saw. dilahirkan pada tahun gajah.” (HR Tirmizi).
c. Himmah (hasrat) beliau yang belum sempat direalisasi. Misalnya, hasrat beliau untuk berpuasa pada tanggal 9 Asyura, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. “Tatkala Rasulullah saw. berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan untuk dipuasai, para sahabat menghadap kepada Nabi, mereka berkata, ‘Ya Rasulullah, bahawa hari ini adalah yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.’ Sahut Rasulullah, ‘Tahun yang akan datang, Insya Allah aku akan berpuasa tanggal sembilan’.” (HR Muslim dan Abu Daud).
Tetapi, Rasulullah tidak menjalankan puasa pada tahun depan kerana wafat. Menurut Imam Syafii dan rakan-rakannya, menjalankan himmah itu disunahkan, kerana ia termasuk salah satu bahagian sunah, yakni sunnah hammiyah.
Ringkasnya, menurut ta’rif (definisi) yang terbatas yang dikemukakan oleh majoriti ahli hadis di atas, pengertian hadis itu hanya terbatas pada segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad saw. saja, sedang segala sesuatu yang disandarkan kepada sahabat, tabi’in, atau tabi’it tabi’in, tidak termasuk al-hadits.
Dengan memperhatikan macam-macam unsur hadis dan mana yang harus didahulukan mengamalkannya, bila ada perlawanan antara unsur-unsur tersebut, majoriti ahli hadis membahagi hadis berturut-turut sebagai berikut.
a. Sunnah qauliyah,
b. Sunnah fi’liyah,
c. Sunah taqririyah, dan
d. Sunnah hammiyah.
Pengertian Sunnah
Sunnah menurut bahasa: ialah jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.
Rasul SAW bersabda:
“Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga.” (Hadith riwayat Muslim)
“Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat, dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat (buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Jelaslah bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan dengan perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang dimaksudkan oleh bahasa.
Sunnah menurut istilah ahli hadith: ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam baik yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadith menetapkan bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadith.
Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul: ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum. Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”. (Hadith riwayat Malik)
1. Contoh sunnah (hadith) perkataan(qauliyyah) ialah:
“Segala ‘amal itu dengan niat.” [Riwayat Bukhari, Muslim dan sekelian
ulama’ hadith]
2. Contoh sunnah (hadith) perbuatan (fi’iliyyah) ialah:
“Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
3. Contoh hadith (sunnah) taqrir. Taqrir ialah:
(a) Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredaannya;
(B) menerangkan kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.
Contoh yang pertama ialah sebagaimana Nabi saw membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang ‘Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya:
“Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah.” [Riwayat Bukhari]
Sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta’khirkan sembahyang ‘Asar itu sampai selepas Maghrib. Dan ada sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan bahawa yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan sembahyang ‘Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.
Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi saw beritanya, dan Nabi saw tinggal berdiam diri tidak membantah apa-apa.
Contoh yang kedua sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid pernah memakan dab (serupa binatang biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi saw. Nabi saw sendiri enggan memakannya, maka bertanya sebahagian sahabat:
“Adakah diharamkan makannya ya Rasulullah? Lalu ia bersabda: Tidak! cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya.”
Selanjutnya pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang ditunjuki oleh dalil syara’, baik berdasarkan dalil Qur’an atau pun berdasarkan hadith, mahu pun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti mengumpulkan mashaf(Qur’an) dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf ‘Uthman, dan seperti membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).
Lawan dari sunnah ini ialah bid’ah, inilah yang dimaksudkan oleh hadith:
“Berpeganglah kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat pertunjuk sesudahku.” [Abu Daud & Tarmizi]
Sementara itu ulama’ fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi saw dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid’ah; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid’ah.
Ulama’ Syafi’e mengatakan bahawa sunnah itu: ialah suatu yang dipahalai orang yang mengerjakannya, tidak disiksai orang yang meninggalkannya.
Menurut ulama’ mazhab Hanafi, sunnah itu: ialah suatu yang disunnahkan Nabi saw atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjama’ah.
Sumber:
1- Diadaptasi dari Ikhtisar Mushthalahul Hadits, Drs. Fatchur Rahman